ALOR GAJAH: Hala tuju Barisan Nasional (BN) termasuk bentuk kerjasama dengan parti lain serta pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Ogos ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan mengenai perkara itu akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan formula yang sedang dibincangkan ketika ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, mesyuarat MKT UMNO dijadual berlangsung di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada pukul 8 malam, akan menjadi platform untuk membincangkan corak kerjasama yang bakal digunakan BN pada PRN Melaka tidak lama lagi.
“Apakah yang akan berlaku di Melaka? Kita tunggu perbincangan pada 28 Ogos ini. Saya ingin maklumkan bahawa tentunya hala tuju PRN Melaka ini kita ingin mendengar laporan dalam Majlis Kerja Tertinggi yang terdekat ialah pada 28 Ogos.
“Ahli-ahli MKT boleh memberikan pandangan-pandangan, termasuk saya sendiri, apakah corak bentuk kerjasama dalam PRN Melaka mengikut PRN Johor atau PRN Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), di sini hari ini.
Mengulas kemungkinan formula kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) di Melaka, Ahmad berkata, pendekatan yang akan digunakan masih belum diputuskan dan mungkin mempunyai sedikit perbezaan berbanding model kerjasama yang berlaku di Johor.
Beliau berkata, pengalaman di Negeri Sembilan menunjukkan formula persefahaman antara BN dan PN boleh menjadi satu pendekatan yang berkesan apabila kedua-dua gabungan berkenaan mengelakkan pertembungan di kerusi yang dipersetujui.
“Di Negeri Sembilan, persefahamannya ialah 25:11. BN hanya bertanding 25 dan di 11 yang PN bertanding, kami tidak bertanding.
“Daripada 25, BN menang 18, manakala PN menang tujuh. Jadi, 18 campur tujuh menjadi 25 dan BN-PN memerintah. Itu satu persefahaman penuh,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, situasi di Johor pula berbeza apabila persefahaman antara BN dan PN hanya membabitkan sebahagian kerusi dengan PN bertanding di 11 kerusi, manakala BN di 56 kerusi, namun calon PN gagal memenangi mana-mana kerusi yang ditandingi.
Menurut beliau, perkembangan di Melaka perlu dilihat berdasarkan keadaan politik semasa termasuk keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk menarik diri daripada kerjasama dengan kerajaan negeri Melaka.
“PH telah menarik diri lebih awal. Mereka ada lima kerusi, empat kerusi DAP dan satu kerusi Amanah. Apabila mereka menarik diri, itu memberikan signal bahawa PH tidak mahu bersama dengan kerajaan negeri sekarang,” katanya.
Ahmad berkata, keputusan mengenai pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa kerana ia membabitkan keputusan dasar parti.
Beliau berkata, BN juga perlu mengambil kira perkembangan politik di Melaka sebelum menentukan formula terbaik untuk menghadapi PRN berkenaan. – UTUSAN






