TEHERAN: Wanita merupakan antara anggota Kabinet Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang dilantik setelah mendapat persetujuan Parlimen negara itu.
Menteri Perumahan dan Jalan Raya, Farzaneh Sadegh, seorang arkitek berusia 47 tahun telah menerima 231 undi sekali gus menjadi menteri wanita pertama di Iran dalam lebih sedekad.
Dalam pada itu, Parlimen Iran meluluskan kesemua ahli Kabinet Pezeshkian sekali gus menjadikannya kali pertama dalam lebih dua dekad seorang Presiden kumpulan Reformis berjaya mendapatkan persetujuan penggubal dasar dikuasai golongan konservatif.
Kesemua 19 calon menteri yang dicadangkan telah menerima kelulusan dalam undian pada sebelah petang, sesuatu yang kali terakhir berlaku di Iran pada tahun 2001 semasa pemerintahan Presiden Mohammad Khatami.
Antara menteri yang diluluskan ialah Abbas Araghchi, 61, yang merupakan seorang diplomat berpengalaman yang akan menjadi Menteri Luar baharu Iran.
Calon yang mendapat sokongan terbanyak daripada ahli parlimen ialah Menteri Pertahanan baharu, Aziz Nasirzadeh yang pernah menjadi ketua pasukan udara Iran dari tahun 2018 hingga 2021 berjaya menerima 281 undi daripada 288 ahli parlimen yang hadir.
Parlimen Iran mempunyai 290 kerusi.
Manakala Menteri Kesihatan, Mohammad Reza Zafarghandi, menerima jumlah undi terendah iaitu sebanyak 163 undi.-AGENSI






