KAHERAH: Sebanyak 50 penduduk Gaza maut dalam tempoh 24 jam menerusi serangan udara oleh Israel di wilayah itu yang kononnya menyasarkan kumpulan Hamas, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Serangan kejam itu berlaku selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menamatkan lawatan terbarunya ke wilayah itu di sebalik perjanjian gencatan senjata masih menemui jalan buntu.
Tentera Israel berkata, jet miliknya menyerang sekitar 30 sasaran di seluruh Semenanjung Gaza termasuk terowong, tapak pelancaran dan pos pemerhatian.
Kemudian tentera Israel menyerang sebuah sekolah dan rumah berdekatan di bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 15 yang lain termasuk beberapa kanak-kanak.
Mereka mendakwa, tenteranya membunuh berpuluh-puluh pejuang Hamas dan merampas senjata termasuk bahan letupan, bom tangan dan senapang automatik.
Tentera Israel mendakwa, ia telah menyerang pejuang Hamas beroperasi di pusat arahan dalam kawasan yang sebelum ini berfungsi sebagai sekolah dengan menuduh mereka beroperasi di kawasan awam, namun kumpulan itu menafikannya.
Dalam pada itu, Ketua Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philippe Lazzarini berkata, kanak-kanak dilaporkan antara terbunuh dan cedera malah ada yang terbakar sehingga mati.
Tambahnya, Gaza kini bukan tempat untuk kanak-kanak lagi kerana mereka adalah mangsa pertama perang tanpa belas kasihan.
Rundingan Blinken dengan pemimpin pengantara gencatan senjata iaitu Mesir dan Qatar tertumpu pada nasib Gaza yang terus dirundung malang, apabila kempen ketenteraan Israel telah membunuh lebih daripada 40,000 orang sejak Oktober tahun lalu. – AGENSI






