BANGKOK: Thailand melaporkan kes pertama Cacar Monyet atau Mpox varian baharu Clade 1 selepas wabak itu diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai kecemasan kesihatan awam global.
Memetik laporan AFP, ia membabitkan warga Eropah yang mengunjungi Thailand dari benua Afrika.
Menurut Ketua Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Thongchai Keeratihattayakorn, ujian makmal sedang dijalankan untuk mengesahkan kes berkenaan tetapi pegawai mengesyaki varian Clade 1.
“Pesakit kini dikuarantin di hospital. Kami telah melakukan ujian dan mereka pasti Mpox dan bukan varian Clade 2,” katanya.
Minggu ini, Filipina mencatatkan kes pertama Mpox namun belum mengesahkan jenis varian terlibat.
Mpox ialah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh virus spesies di bawah genus orthopoxvirus. Jangkitan boleh berlaku antara manusia kepada manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan.
Penyakit ini disebabkan oleh virus yang disebarkan oleh haiwan yang dijangkiti tetapi disebarkan dari manusia ke manusia melalui sentuhan fizikal yang rapat, menyebabkan demam, sakit otot dan lesi kulit yang besar seperti bisul.
Walaupun Mpox dikenali selama beberapa dekad, varian baharu yang lebih maut dan lebih mudah ditularkan dikenali sebagai Clade 1b, sekali gus mendorong lonjakan kes baru-baru ini.
Clade 1b menyebabkan kematian dalam kira-kira 3.6 peratus kes, dengan kanak-kanak lebih berisiko, menurut WHO.
Pada 15 Ogos Sweden melaporkan kes Clade 1 pertama yang disahkan di luar Afrika.
– AGENSI






