JAKARTA: Nama Presiden Indonesia, Joko Widodo dicadangkan untuk menyertai Parti Golongan Karya (Golkar) selepas tempoh pentadbirannya berakhir pada Oktober ini.
Malah nama Jokowi juga diusulkan sebagai salah seorang barisan kepimpinan parti kedua terbesar Indonesia itu memandangkan beliau kini tidak lagi menjadi anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP).
Cadangan ini muncul daripada kepemimpinan Golkar semasa Musyawarah Nasional Parti Golkar (Munas) yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut seorang pemimpin tempatan Golkar, Ali Mochtar Ngabalin, ramai perwakilan daerah yang hadir dalam acara itu menyuarakan hasrat agar Jokowi mengambil peranan sebagai Ketua Dewan Pembina Parti Golkar.
“Aspirasi ini kini sedang berkembang pesat terutamanya dari daerah-daerah yang meminta kesediaan Jokowi untuk menjadi Ketua Dewan Pembina Parti Golkar bagi tempoh 2024-2029,” kata Ngabalin kepada media.
Tambah beliau, terserah kepada kepimpinan parti sama ada setuju atau tidak jika Jokowi dilantik menjadi pemimpin Golkar kerana parti tersebut merupakan sebuah organisasi yang terbuka menerima pandangan.
Namun, beliau juga mengingatkan bahawa parti tersebut mempunyai peraturan sendiri yang menetapkan peraturan mengenai pelantikan sebarang jawatan.
Spekulasi mengenai Jokowi sebagai Ketua Dewan Pembina Parti Golkar menjadi perbualan hangat sejak kebelakangan ini, khususnya ketika Munas Golkar sedang berlangsung di samping isu ini muncul pada awal tahun ini.
Terdahulu, parti kedua Indonesia itu melantik orang kuat Jokowi iaitu Menteri Tenaga, Bahlil Lahadalia sebagai Ketua Golkar bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Airlangga Hartarto pada minggu lalu.-AGENSI






