JOHOR BAHRU: Keluarga arwah guru wanita yang dibunuh kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, berharap dapat segera menuntut jenazah Allahyarhamah untuk dibawa dan dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan.
Suami Allahyarhamah, Mohd. Yusof Mokhtar, 35, berkata, setakat ini mereka belum boleh menuntut jenazah isterinya kerana masih tidak menerima makluman daripada Unit Forensik Hospital Melaka mahupun pihak polis.
Malah, dia dimaklumkan pihak polis masih lagi menggerakkan usaha mengesan saki-baki anggota badan isterinya yang belum ditemukan.
“Setakat ini, saya belum dapat panggilan sama ada daripada pihak polis mahupun hospital berkaitan urusan tuntutan jenazah arwah isteri. Saya difahamkan gerakan mencari bahagian anggota badan hilang yang lain masih diteruskan, namun saya belum mendengar apa-apa perkembangan terkini mengenai pencarian itu.
“Kami semua hanya tunggu dan berharap urusan tuntutan jenazah ini akan dapat diselesaikan secepat yang mungkin,” katanya ketika ditemui di Kota Masai, di sini.
Mengulas lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, jenazah isterinya akan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, selepas urusan tuntutan jenazah dibenarkan.
Pasangan itu dikurniakan tiga anak, Naura Auni, 9, Muhammad Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat.
Katanya, pendedahan terlalu banyak maklumat dikhuatiri akan mengganggu siasatan.
“Buat masa ini siasatan masih berjalan belum selesai sepenuhnya. Masih banyak tindakan yang perlu diambil oleh pihak polis untuk memastikan siasatan kes ini dapat dapat dilengkapkan,” katanya. – UTUSAN






