PARIS: Keluarga pelakon terkenal Perancis, Alain Delon menolak hasratnya untuk membunuh dan mengebumikan anjing peliharaannya yang diberi nama Loubo bersama-sama beliau.
Delon yang meninggal dunia pada Ahad lalu pada usia 88 tahun sebelum ini meninggalkan wasiat agar anjing Belgian Malinois berusia 10 tahun itu dibunuh dan dikebumikan bersama.
Namun selepas menerima kecaman daripada aktivis haiwan, keluarga pelakon tersebut mengesahkan bahawa anjing tidak akan dibunuh.
Badan amal haiwan Perancis, Fondation Brigitte Bardot dalam satu kenyataan menyatakan bahawa keluarga Delon telah mengesahkan bahawa saudara-mara akan menjaga Loubo.
“Dia (Loubo) telah mempunyai rumah dan keluarga,” tambah kenyataan itu.
Badan kebajikan haiwan Perancis turut menawarkan untuk menjaga anjing tersebut sambil menegaskan bahawa nyawa haiwan tidak seharusnya ditentukan oleh kehidupan manusia.
Delon sebelum ini memberitahu media bahawa beliau telah membina sebuah tanah perkuburan khusus untuk anjing di kediamannya, La Brulerie, di kampung Douchy, Loiret, yang terletak kira-kira 85 batu ke tenggara Paris.
Beliau dikenali melalui lakonannya dalam filem-filem seperti purple Noon (1960), The Leopard (1963) dan Le Samourai (1967).
Sebelum ini, beliau berada dalam keadaan kesihatan yang kurang baik sejak mengalami strok lima tahun lalu dan penampilan awam terakhirnya adalah ketika menerima penghargaan Palme d’Or kehormat di Festival Filem Cannes pada Mei 2019.-AGENSI






