JOHOR BAHRU: Penduduk Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah kini tidak perlu lagi bergelap apabila perlu melakukan pengebumian jenazah selepas matahari terbenam.
Dengan kerjasama SIRIM Berhad, Pejabat Ahli Parlimen Iskandar Puteri telah memasang lampu solar di kawasan tanah perkuburan kawasan tersebut.
Lampu solar yang dipasang menggunakan tenaga boleh diperbaharui ini dapat mengurangkan kos operasi kerana ia tidak memerlukan pemasangan kabel elektrik yang mahal.

Walaupun teknologi solar bukanlah sesuatu yang baharu, penggunaannya dalam kawasan tanah perkuburan merupakan satu percubaan yang signifikan. Ini membuktikan potensi teknologi hijau dalam memudahkan kehidupan seharian serta meningkatkan keselesaan masyarakat.
Selepas sesi penerangan oleh SIRIM di Kompleks Penghulu Mukim Tanjung Kupang, satu tinjauan tapak telah dilakukan di tanah perkuburan Islam Kampung Tiram Duku.
Lampu solar juga dipasang di tanah-tanah perkuburan Islam di Kampung Tiram Duku 2, Kampung Ladang, Kampung Ladang 2, Kampung Pok, Kampung Tanjung Adang, Kampung Pekajang, dan Kampung Pendas.
Turut hadir semasa majlis perasmian serta tinjauan tapak Penolong Pegawai Daerah Johor Bahru Presiden dan CEO SIRIM; Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad; Pengarah Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) Johor, Marhani Md. Jelani, dan Ketua Penjenamaan, Pemasaran & Komunikasi SIRIM Berhad Faizah Jaafar.
Inisiatif ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada penduduk setempat dan memudahkan urusan pengebumian, serta mempromosikan penggunaan teknologi yang lebih mesra alam. – UTUSAN






