SAUDARA PENGARANG,
KAMI mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu kerana meluluskan permohonan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bertarikh 11 Jun 2024 bagi memasang lampu tambahan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong.
Pemasangan lampu solar ini dipasang pada 1 Julai lalu selepas beberapa kali permohonan dibuat kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) sejak 2018. Malah sudah beberapa kali kami menulis aduan dalam ruangan Forum Nexbyte, namun tiada sebarang tindakan susulan.
Dengan pemasangan empat buah lampu solar tersebut sudah pastinya keselamatan pelajar yang hadir kelas tambahan pada sebelah malam tidak lagi menjadi kebimbangan dan kerisauan buat guru serta ibu bapa.
Dalam masa sama, usaha JKR Terengganu membolehkan pengawal keselamatan sekolah yang bertugas pada sebelah malam merasa selesa, tidak seperti sebelum ini suram dan gelap di hadapan sekolah.
Sekali lagi mewakili PIBG serta sekolah mengucapkan terima kasih kepada JKR Terengganu kerana bertindak pantas, kurang daripada sebulan selepas permohonan dibuat. Ini sekali gus menamatkan penantian kami selama 22 tahun.
LAN
Kuala Telemong, Terengganu






