GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyasarkan kesemua 25 pasar awam di bawah seliaannya mencapai gred A dari segi kebersihan dalam tempoh terdekat.
Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran berkata, setakat ini, lima daripada 25 pasar awam tersebut telah mencapai gred berkenaan.
“Lima pasar itu ialah Pasar di Taman Terubong Jaya, Teluk Kumbar Height, Pagar Buluh, Bayan Baru dan Teluk Bahang. Kesemuanya berjaya mencapai gred A dari segi kebersihan dengan kerjasama semua pihak, terutamanya ahli majlis, pekerja-pekerja MBPP, peniaga, dan lain-lain.
“Sudah tentu kami menyasarkan 100 peratus pasar awam mencapai gred A dari segi kebersihan. Bagaimanapun, ia melibatkan kos dan beberapa naik taraf yang perlu dilakukan, jadi, kami perlu melaksanakannya secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar di Pasar Awam Taman Terubong Jaya, di sini, hari ini.
Terdahulu, Rajendran menghadiri majlis perasmian Kempen Pasar Awam Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 di Pasar Awam Taman Terubong Jaya. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hong Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Mengulas lanjut, Rajendran berkata, ketika ini, MBPP mempunyai sistem penggredan di mana pasar awam yang mencapai gred melebihi 85 peratus dari segi kebersihan akan berada pada gred A manakala gred B pula berada antara 75 hingga 85 peratus.
“Setakat ini, secara keseluruhannya, boleh dikatakan 80 peratus pasar awam berada pada gred A dan B manakala kurang daripada 50 peratus pasar awam pula berada pada gred yang lebih rendah,” katanya.
Sementara itu, Rajendran berkata, pasar Taman Terubong Jaya dan Kompleks Medan Renong telah dicalonkan untuk menyertai program Pasar Awam Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan tahap kebersihan dan kemudahan fasiliti dalam kompleks dan pasar awam MBPP.
“KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM15,000 kepada MBPP untuk melaksanakan program Kempen Pasar Awam Bersih PBT Tahun 2024. MBPP telah menggunakan peruntukan ini dengan menjalankan kerja-kerja pembaikan di Pasar Taman Terubong Jaya,” katanya.-UTUSAN






