GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini sedang meneliti cadangan untuk menjadikan keseluruhan Persiaran Gurney sebagai jalan sehala bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat sejak lebih sedekad lalu.
Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran berkata, peningkatan aliran trafik yang ketara terutama dari kawasan Tanjung Tokong, Pulau Andaman dan Tanjung Bungah ketika ini telah menyebabkan laluan berkenaan menjadi antara jalan utama menuju ke pusat bandar.
Menurut beliau, keadaan itu juga mendorong MBPP untuk menjalankan kajian menyeluruh bagi menilai kesesuaian menukar sistem lalu lintas dua hala kepada sehala di sepanjang Persiaran Gurney.
“Aliran lalu lintas telah meningkat sejak lebih 10 tahun lalu. Bukan hanya dari Pulau Andaman atau Tanjung Tokong, malah dari Tanjung Bungah kerana kebanyakan yang menuju ke bandar menggunakan Persiaran Gurney.
“Jadi kita dapati perlu mempertimbangkan untuk menjadikan keseluruhan Persiaran Gurney sebagai jalan sehala dan untuk tujuan itu MBPP sedang menjalankan satu kajian,” katanya sempena majlis pembukaan tempat letak kereta Fasa 2 Gurney Bay di sini, hari ini.
Menurut Rajendran, cadangan tersebut melibatkan laluan dari Tanjung Tokong sehingga ke Lebuh Farquhar, namun, keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas kajian impak lalu lintas disiapkan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kerajaan negeri akan menambah kemudahan parkir bagi menampung keperluan pengunjung di kawasan Gurney Bay ketika ini.
Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 813 petak tempat letak kereta disediakan melibatkan 68 petak di Fasa 1, 143 petak di Fasa 2 di hadapan Restoran Bali Hai serta 602 petak di kemudahan parkir bertingkat di Fasa 2.
“Selain itu, sebanyak 12 petak parkir bas turut disediakan di Fasa 2 bagi kemudahan bas pelancong dan pengangkutan berkumpulan. Bagi pengguna motosikal pula, sebanyak 233 petak parkir disediakan merangkumi 62 petak di Fasa 1, 71 petak di Fasa 2 serta 100 petak di kawasan parkir bertingkat,” katanya.
Beliau berkata, bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati kemudahan tersebut, parkir di Fasa 2 di hadapan Restoran Bali Hai akan dibuka secara percuma bermula 18 Mac hingga 30 April ini sebelum kadar bayaran dikenakan mulai 1 Mei depan. – UTUSAN






