KUALA LUMPUR: Pendang di Kedah merupakan daerah paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini iaitu seramai 1,333 orang.
Jumlah ini dilihat serius kerana sudah melebihi 1,000 orang berbanding nisbah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), iaitu 432 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.
Nisbah ini adalah hasil pemetaan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pusat pemulihan narkotik swasta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia diikuti Machang di Kelantan dan Marang, Dungun, Kemaman serta Besut di Terengganu.
“Dalam mesyuarat Kabinet melibatkan agensi-agensi terlibat ada membincangkan Laporan Dadah Dunia 2023 berkaitan trend penyalahgunaan dadah yang meningkat.
“PDRM melakukan analisis dan merumuskan dua kaedah berkaitan penyalahgunaan dadah iaitu perbandingan dengan 10,000 penduduk dan 100,000 penduduk.
“Melalui laporan itu, keempat-empat agensi kemudian mengecilkan kajian di dalam negara dan menunjukkan purata penagihan dadah di beberapa daerah melepasi nisbah ideal kebangsaan iaitu 432 penagih bagi 100,000 penduduk,” katanya dalam sidang akhbar sempena Dialog Khas II 2024 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, faktor demografi seperti taraf pendidikan, pekerjaan dan pendapatan isi rumah merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan penyalahgunaan dadah di kawasan-kawasan terbabit.
“Data yang kita dapat ini sangat granul. Dia berikan latar belakang, kaum dan taraf pendidikan serta pendapatan isi rumah.
“Kita dapati kelompok ramai terlibat ialah daerah hampir 100 peratus komuniti Melayu dan kedua, tahap pekerjaan swasta dan penganggur iaitu kira-kira 56 peratus.
“Tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) paling tinggi. Maknanya angka ‘kelayakan’ minimum adalah SPM,” katanya.
Justeru, beliau berkata, beberapa pendekatan akan diambil bagi menangani isu penyalahgunaan dan penagihan dadah di kawasan-kawasan terbabit atantaranya aktiviti dan program menerusi agensi-agensi berkaitan.
“Dalam tempoh enam bulan ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi akan merancang beberapa pendekatan dan menggerakkan agensi terlibat. Kemudian, dalam tempoh enam bulan selepas itu kita akan menilai sama ada program dilaksanakan berjaya atau perlu ditambah baik,” katanya.
Mengulas mengenai dialog hari ini, beliau berkata, program sebegini yang mengumpulkan banyak pihak berkaitan pemberantasan dadah termasuk pakar-pakar dari luar negara bertujuan membincangkan mengenai pendekatan baharu dan berbeza dalam menangani jenayah narkotik yang semakin kompleks. – UTUSAN






