GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan program vaksinasi bersasar dilakukan berbanding secara besar-besaran dalam usaha memerangi Mpox atau Cacar Monyet di lokasi virus dikesan.
Jurucakap WHO, Margaret Harris berkata, perkara itu mengambil kira langkah menghentikan penyebaran Mpox dilihat lebih mudah daripada menangani Covid-19.
“Tidak disyorkan untuk vaksinasi besar-besaran, hanya bersasar saja di mana virus Mpox yang mempunyai dua jenis genetik iaitu Clade 1 dan Clade 2 yang lebih menular.
“Bagaimanapun rantaian baharu virus Clade 1b yang muncul tahun lalu adalah sesuatu yang dibimbangkan kerana ia merebak dengan sangat pantas. Ia juga mempunyai kadar kematian yang agak tinggi, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak,” katanya kelmarin.
Beliau berkata, adalah disyorkan mereka yang dijangkiti mendapatkannya vaksin dalam masa empat hari selepas terdedah kepada penyakit itu.
“Kumpulan lain yang harus mendapatkan vaksinasi adalah pekerja kesihatan di kawasan di mana terdapat wabak berterusan serta beberapa kumpulan lain yang berisiko besar.
“Bagaimanapun, kami tidak mahu ini merebak ke seluruh dunia dan menjadi pandemik, kerana akan memberi tekanan kepada sistem kesihatan,” katanya
Beliau menjelaskan, mereka dijangkiti HIV lebih berkemungkinan mengalami bentuk Mpox yang lebih teruk dan risiko kematian lebih tinggi.
“Tiada rawatan khusus untuk virus ini dan tiada ubat antivirus untuk memeranginya, tetapi rawatan simptomatik itu berkesan.” katanya.– AGENSI






