WASHINGTON: Calon bebas Presiden Amerika Syarikat (AS), Robert F. Kennedy Jr., mahu menarik diri dari Pilihan Raya Presiden 2024 dan menyatakan sokongan kepada Donald Trump daripada Parti Republikan.
Perkara tersebut didedahkan ABC News semalam, memetik sumber yang tidak dinamakan.
Pasukan kempen Kennedy semalam menyatakan, pemimpin tersebut akan membuat pengunduran rasmi di Arizona hari ini.
Seorang wartawan ABC News dalam satu pos di laman X memberitahu, dia bertanya kepada Kennedy sama ada beliau akan menyokong Trump.
“Saya tidak akan mengesahkan atau menafikannya. Kami tidak bercakap tentang perkara itu,” ujar Kennedy.
Calon Naib Presiden Kennedy, Nicole Shanahan, kelmarin berkata, beliau mempertimbangkan untuk menghentikan kempen bagi menyokong Trump.
Trump sebelum ini memberitahu CNN, beliau sedia menerima Kennedy dalam pentadbirannya jika calon bebas itu menarik diri dan menyokongnya.
Kennedy, 70, anak kepada pemimpin Parti Demokratik yang telah meninggal dunia, Robert F. Kennedy dan anak saudara kepada Presiden John F. Kennedy, memulakan kempen Presiden sebagai calon Parti Demokrat menentang Presiden, Joe Biden.
Bagaimanapun menurut badan tinjauan Ipsos bulan ini, sokongan terhadapnya sekadar mencatat 4 peratus, turun daripada 10 peratus bulan lalu sekali gus menyukarkan usahanya untuk memenangi Pilihan Raya Presiden pada November ini.
Sebelum ini, Kennedy Jr mengumumkan sebagai calon Bebas selepas tidak meneruskan usaha terdahulu untuk menggulingkan Biden, sebagai calon Parti Demokrat. – AGENSI






