NEW YORK: Syarikat penerbangan American Airlines mengumumkan penggantungan penerbangan ke Israel sehingga Mac 2025 sekoran peperangan di Gaza.
Seorang jurucakap syarikat penerbangan itu pada Rabu berkata, pelanggan yang mempunyai tiket untuk penerbangan ke Tel Aviv boleh menempah semula tanpa sebarang caj tambahan atau membatalkan perjalanan mereka dan mendapatkan bayaran balik.
“Penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Tel Aviv akan digantung sehingga 29 Mac dan syarikat penerbangan tersebut telah mengemas kini nasihat perjalanan di laman webnya pada hujung minggu lalu.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi syarikat penerbangan kami untuk membantu pelanggan yang membuat perjalanan antara Israel dan bandar-bandar di Eropah dengan perkhidmatan ke Amerika Syarikat,” kata jurucakap tersebut.
Dalam pada itu, Delta Air Lines turut melanjutkan penggantungan penerbangan ke Tel Aviv sehingga 30 September daripada 31 Ogos manakala United Airlines pula telah menggantung perkhidmatan tersebut untuk tempoh yang tidak ditentukan.
Ketiga-tiga syarikat penerbangan tersebut menghentikan penerbangan ke Israel sejurus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober yang mencetuskan perang.
Kebanyakan syarikat penerbangan antarabangsa lain turut melakukan hal yang sama, walaupun beberapa daripadanya kemudian menyambung semula perkhidmatan tersebut.
Lufthansa dari Jerman pada Isnin mengumumkan bahawa berdasarkan analisis keselamatan semasa, ia akan menghentikan semua penerbangan ke Asia Barat sehingga Isnin.
Sekitar 1,200 rakyat Israel, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam serangan pada 7 Oktober, yang disusuli oleh pengeboman Israel ke atas Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekitar 40,000 orang telah terkorban di Gaza dan usaha Amerika Syarikat untuk merundingkan perjanjian gencatan senjata masih belum berjaya. -AGENSI






