KEMAMAN: Tiga anggota polis di daerah ini ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan komponen motosikal jenis Yamaha RXZ di stor barangan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun itu ditahan pada Selasa lalu selepas pihaknya mengesan kehilangan komponen enjin motosikal RXZ di stor tersebut.
“Sebelum ini, kami mendapati terdapat komponen enjin motosikal RXZ yang hilang dari stor barang kes.
“Kita menahan menahan tiga anggota tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hanyan berkata, siasatan awal mendapati dua daripada suspek turut memiliki motosikal jenis yang sama dan merupakan peminat tegar motosikal RXZ.
“Kita akan melakukan siasatan dari segala aspek dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggota polis yang melakukan kesalahan jenayah.
“Kesemua suspek telah direman selama empat hari hingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN






