CHICAGO: Calon Naib Presiden, Tim Walz, berjanji bahawa gandingan antara beliau dan calon Presiden, Kamala Harris akan menewaskan Donald Trump daripada Parti Republikan dalam pilihan raya Amerika Syarikat yang dijadualkan pada November ini.
Walz, 60, yang merupakan Gabenor Minnesota, mengakui bahawa beliau tidak pernah memberikan ucapan sebesar itu sebelum ini, tetapi sebagai bekas jurulatih bola sepak sekolah tinggi, beliau bersemangat untuk memberikan ucapan di hadapan perwakilan Demokrat dalam konvensyen parti itu di Chicago.
Dalam ucapan penerimaannya sebagai calon Naib Presiden, beliau berkata AS harus menjadi nergara di mana kanak-kanak tidak kelaparan, sambil bertegas bahawa kesihatan dan perumahan diutamakan disamping memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam kehidupan peribadi.
Tambahnya, pentadbiran Trump yang kedua hanya akan menguntungkan golongan kaya dan paling ekstrem.
Konvensyen itu juga turut dihadiri oleh bekas Presiden, Bill Clinton yang memberi ucapan mengecam Trump dengan menyifatnya sebagai seorang yang pentingkan diri, dan memuji Harris merupakan seorang yang memperjuangkan negara.
Harris muncul sebagai calon Demokrat pada saat-saat akhir selepas Presiden Joe Biden menarik diri dan membawa Walz, yang kurang dikenali, ke pentas nasional hanya 15 hari lalu.-AGENSI






