KLANG: Seorang lelaki warga emas berusia 70-an nyaris maut selepas rumah didiami mereka dekat Kampung Delek Baru, di sini dijilat api pada awal pagi tadi.
Bagaimanapun, lelaki orang kurang upaya (OKU) itu terselamat daripada insiden berkenaan selepas diselamatkan anak lelakinya berusia 30-an yang mengalami kecederaan melecur 10 peratus.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.54 pagi dan menggerakkan sepasukan dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke tempat kejadian.
“Mangsa warga emas mengalami kecederaan melecur 20 peratus di bahagian tangan kiri sementara anaknya melecur 10 peratus pada bahagian kaki.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah kelas B masing-masing berkeluasan 600 kaki persegi. Rumah pertama yang didiami warga emas dan anaknya terbakar 70 peratus dan rumah kedua 40 peratus,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mangsa menerima rawatan awal daripada anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut. – UTUSAN






