KLUANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, yang diiringi pencadangnya, Law Mona dan penyokong, Abdul Qayum Shamsudin menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail tepat pukul 9 pagi.
Berselang lima minit kemudian, calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang diiringi pencadang, Zulkiflee Yurani dan penyokongnya, Kevin Wong.
Syed Hussien Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang manakala Mohamad Haizan yang popular dengan panggilan ‘Coach Haizan’ ialah Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang.
Pengesahan pencalonan kedua-dua calon diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid pada pukul 10.15 pagi.
Walau bagaimanapun, ura-ura yang mengatakan dua individu akan mengemukakan borang pencalonan sebagai Calon Bebas tidak muncul di pusat penamaan calon sehingga waktu serahan borang tamat pada pukul 10 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala mengundi awal pada 24 September ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, semasa dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang pada 2 Ogos lalu.
Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi, calon PN, Mohamad Nor Lingan meraih 7,614 undi, manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.
Berdasarkan daftar terkini, DUN Mahkota mempunyai seramai 66,318 pengundi. – UTUSAN






