JOHOR BAHRU: Usia bukan ukuran keupayaan sebaliknya integriti, kejujuran dan kesungguhan memperjuangkan hak rakyat menjadi keutamaan.
Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied, 26, berkata, faktor usia hanyalah angka buat dirinya.
“Saya percaya kelebihan saya bukan bergantung kepada usia, tetapi sejauh mana saya mengenali penduduk Puteri Wangsa. Usia muda mencerminkan tenaga dan semangat saya miliki, namun berharap pengundi melihat saya lebih daripada sekadar umur.
“Apa yang kurang daripada sudut usia, saya pastikan ia diganti dengan integriti. Apa yang mungkin kurang daripada segi pengalaman, saya akan diimbangi dengan kejujuran yang saya bawa untuk memimpin Puteri Wangsa,” katanya selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato’ Onn, di sini semalam.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Dalam Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya ini berkata, antara isu menjadi fokus kempennya adalah kos sara hidup yang kian meningkat.
“Kita lihat harga makanan dan rumah kini hampir menyamai bandar raya Kuala Lumpur. Saya membesar di Johor Bahru ketika kos sara hidup masih berpatutan. Sebagai anak muda berusia 26 tahun, saya sendiri merasakan memiliki rumah dalam tempoh 10 tahun akan datang bukan sesuatu yang mudah.
“Saya mahu mengubah keadaan itu jika diberi mandat sebagai wakil rakyat demi meningkatkan pendapatan dan kehidupan penduduk setempat,” katanya.
Rashifa juga mahu mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan Puteri Wangsa, bukan sekadar membantu mangsa apabila berlaku banjir tetapi untuk mengatasi sepenuhnya.
“Saya bersedia memikul tanggungjawab besar sekiranya dipilih oleh rakyat di kawasan ini. Fokus saya adalah memastikan setiap perkara yang saya perjuangkan benar-benar mewakili suara Puteri Wangsa,” katanya.
Rashifa berdepan empat pencabar di DUN Puteri Wangsa iaitu bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mewakili Pakatan Harapan (PH): calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling; calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Nicholas Paul Vincent dan calon bebas, Wang Wee Siong. – UTUSAN






