ALOR SETAR: Pimpinan DAP digesa mencontohi MCA yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, walaupun MCA dianggotai oleh masyarakat bukan Melayu, namun parti itu tidak menjadikan retorik murahan sebagai modal politik mereka.
Menurutnya, sepanjang menjadi sebahagian kerajaan, MCA mementingkan isu rakyat yang lebih kritikal untuk dibahaskan seperti isu pengangkutan dan logistik serta isu kos sara hidup yang lebih penting kepada masyarakat.
“Saranan ini ditujukan kepada ahli-ahli Parlimen DAP yang mempertahankan Teresa Kok sehingga memperlihatkan beliau seperti mangsa keadaan khususnya seperti dilakukan Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen.
“Sepatutnya pemimpin muda seperti Dr. Kelvin Yii perlu menghentikan budaya ‘menegakkan benang yang basah’ dalam politik bagi memastikan dunia politik tanah air lebih telus dan matang.
“Perkara ini seharusnya ditunjukkan contoh yang baik dalam konteks politik anak muda yang tidak hanya mempertahankan pimpinan namun perlu ikhlas bersama dengan suara rakyat tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Farhan berkata, pemimpin DAP juga disaran untuk belajar tentang pematuhan piawaian sijil halal kerana sikap toleransi dalam memahami adat budaya dan sensitiviti antara satu sama lain amat penting untuk perpaduan kaum di negara ini.
Tambahnya, langkah Teresa yang ingin mengambil tindakan mahkamah terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh juga merupakan satu tindakan yang kurang bijak.
“Teresa juga harus sedar bahawa setiap tindakan akan mengundang kepada akibat, kritikan Dr. Akmal merupakan satu tindakan yang wajar di mana beliau menerangkan secara umum tentang kepentingan sijil halal kepada pengguna.
“Selain itu, beliau juga menerangkan proses mendapatkan sijil halal yang mudah dan tidak membebankan peniaga seperti didakwa Teresa. Perkara ini harus diteliti dengan terperinci kerana kualiti Pensijilan Halal Malaysia juga mempunyai kualiti terbaik di peringkat antarabangsa dari sudut pematuhan syarak dan memastikan tahap kebersihan terjamin,” ujarnya. – UTUSAN






