PETALING JAYA: Hospital kerajaan disaran menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada peruntukan khas daripada kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, hospital kerajaan memang perlu diberikan peruntukan khas tetapi perlu diingatkan setiap kementerian juga mahukan peruntukan khas seperti Kementerian Pendidikan.
“Antara cara untuk menambah pendapatan hospital adalah meningkatkan caj rawatan kepada pesakit-pesakit yang berkemampuan agar duit itu boleh digunakan oleh pihak hospital bagi menambah pendapatan hospital dan ia perlu dijalankan dengan berhemah tanpa membebankan golongan yang susah,” katanya kepada Nexbyte.
Semalam akhbar ini melaporkan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dibina sejak 1870-an, memerlukan hampir RM100 juta bagi menggantikan peralatan perubatan yang telah tamat tempoh atau usang.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K. R. Nair berkata, ini bagi memastikan kelengkapan dan peralatan perubatan berada dalam keadaan baik, sempurna serta selamat digunakan bagi memenuhi keperluan pesakit demi penjagaan kesihatan yang lebih baik.
Menurut beliau, sebagai sebuah hospital utama di negara ini, HKL perlu melakukan pemantauan kualiti peralatan perubatan secara berkala supaya ia tidak menjejaskan keberkesanan proses rawatan.
“Anggaran kos bagi mengganti peralatan perubatan yang telah luput tempoh penggunaannya adalah mencecah sehingga RM100 juta.
“Peralatan perubatan yang telah luput tempoh dan boleh dilupus akan dicatat untuk permohonan penggantian peralatan perubatan baharu berdasarkan Tatacara Pengurusan dan Perolehan Aset Kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kerajaan perlu menaikkan caj rawatan daripada RM1 kepada RM5 atau RM10 bagi meningkatkan pendapatan hospital.
Menurutnya, kenaikan tersebut masih relevan pada ketika ini dan tidak membebankan rakyat serta membantu pihak hospital untuk menambah baik peralatan yang sudah usang.
“Kerajaan juga perlu bantu sedikit sebanyak pihak HKL bagi selenggara dan penyediaan mesin-mesin baharu kerana setiap peralatan perlu dikemaskini dari masa ke semasa dan tidak perlu menunggu sehingga tarikh luput,” katanya. – UTUSAN





