PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan disaran menstrukturkan semula semua hospital di bawahnya di Lembah Klang agar setiap fasiliti itu mempunyai kepakaran masing-masing bagi memberi khidmat lebih efisien kepada rakyat.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, pendekatan tersebut jika terlaksana membolehkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberi tumpuan kepada pesakit yang memerlukan rawatan lebih kompleks.
Menurut beliau, hospital-hospital lain seperti Hospital Serdang, Hospital Ampang dan Hospital Selayang boleh dijadikan pusat kepakaran yang khusus untuk merawat pesakit dalam bidang tertentu seperti kardiologi, kardiotorasik, hematologi, gastroenterologi dan hepatologi.
Katanya, Hospital Sungai Buloh pula dicadangkan terus fokus kepada pusat penyakit berjangkit manakala Institut Jantung Negara (IJN) dan Institut Kanser Negara (IKN) terus fokus menjadi pusat kepakaran khusus yang memberi tumpuan kepada rawatan dan penyelidikan penyakit jantung serta kanser.
“Bagi terus menambah baik sistem kesihatan negara, kementerian juga boleh membangunkan hospital untuk bidang kepakaran lain seperti trauma, ortopedik, neurosurgeri, obstetrik dan ginekologi, kanak-kanak, nefrologi dan urologi manakala HKL boleh disusun semula untuk menjadi hospital kepakaran tertentu yang lebih khusus,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dengan peningkatan penduduk yang pesat dan permintaan rawatan yang semakin meningkat, langkah melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan termasuk kerjasama dengan klinik swasta, juga perlu dipertimbangkan.
“Inisiatif ini diharapkan dapat mengurangkan beban di HKL dan memberikan akses lebih baik kepada pesakit yang memerlukan rawatan luar.
“HKL yang berfungsi sebagai pusat rujukan untuk pelbagai jenis penyakit perlu direformasi agar lebih fokus kepada kepakaran tertentu demi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di negara ini,” ujarnya.
Sejak 30 tahun lalu, Lembah Klang hanya mempunyai empat hospital kerajaan iaitu HKL, Hospital Klang, Hospital Kajang serta Hospital Universiti Malaya dan tiga hospital swasta iaitu Hospital Pantai, Hospital Assunta dan Hospital Subang Jaya.
Namun kini jumlah hospital semakin bertambah iaitu sebanyak 16 hospital kerajaan termasuk HKL, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Shah Alam, Hospital Klang, Hospital Kajang, Hospital Serdang, Hospital Universiti Malaya.
Selain itu, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hospital Teknologi Mara (UiTM), Hospital Rehabilitasi Cheras, Institut Kanser Negara, Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya, dan Institut Jantung Negara serta lebih daripada 20 hospital swasta.
Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, HKL sepatutnya berfungsi sebagai hospital yang memberi tumpuan kepada kepakaran tertentu bukan sebagai pusat rujukan untuk semua jenis penyakit.
“Namun realitinya, HKL turut menerima pelbagai jenis pesakit termasuk pesakit yang sepatutnya boleh dirawat di klinik kesihatan atau hospital tanpa pakar serta pesakit dengan pelbagai masalah yang melibatkan pelbagai bidang kepakaran.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dibina sejak 1870-an, memerlukan hampir RM100 juta bagi menggantikan peralatan perubatan yang telah tamat tempoh atau usang.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K. R. Nair berkata, ini bagi memastikan kelengkapan dan peralatan perubatan berada dalam keadaan baik, sempurna serta selamat digunakan bagi memenuhi keperluan pesakit demi penjagaan kesihatan yang lebih baik. – UTUSAN





