PETALING JAYA: Sejak perang meletus Oktober tahun lalu, sehingga kini Palestin hanya menerima 20 peratus daripada bantuan trak kemanusiaan berikutan hampir 80 peratus bantuan itu terhalang akibat serangan rejim Zionis yang menyasarkan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab menguruskan agihan.
Hampir 728 pegawai yang menjaga lori kemanusiaan dilaporkan syahid akibat diserang tentera Israel, dengan tujuan utama rejim Zionis adalah untuk menyaksikan rakyat Palestin berebut barang-barang bantuan yang terhad.
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif, Megat Aiman Hakim Shariffudin berkata, sejak dua hingga tiga bulan lalu, rejim Zionis telah menyasarkan pegawai terlibat untuk menambah penderitaan rakyat Palestin.
Kata beliau, bantuan semakin sukar diperoleh terutama ketika musim sejuk tiba, di mana rakyat Palestin yang memerlukan pemanas dan pakaian sejuk di tahap kritikal.
“Tujuan rejim Zionis adalah untuk menyulitkan keadaan rakyat Palestin dengan memastikan barang keperluan asas tidak mencukupi, terutama sekali pada musim sejuk yang lebih mencabar.
“Ketika ini, 90 peratus rakyat Gaza tinggal di khemah tanpa perlindungan dinding batu, hanya berdindingkan plastik atau nilon. Ini menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca sejuk melampau dan hingga kini dilaporkan 20 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kesejukan,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Mengulas lanjut, Megat Aiman berkata, menjelang tahun baharu ini, rejim Zionis semakin terdesak untuk ‘memenangi’ peperangan menentang kumpulan pejuang Hamas.
Katanya, Israel sudah mengerahkan lebih 500,000 askarnya untuk berperang di Gaza dan kawasan utara Palestin yang dijajah, namun mereka masih belum dapat melumpuhkan sepenuhnya operasi Hamas.
“Setengah juta askar telah digunakan sehingga tentera Israel mengalami keletihan psikologi. Apabila keadaan itu berlaku, Israel gagal mencapai objektif mereka dan hanya membuang masa serta tenaga.
“Baru-baru ini juga dilaporkan lebih 500 anggota tentera Israel melarikan diri atau meletak jawatan kerana enggan berkhidmat di Gaza,” jelasnya. – UTUSAN






