GEORGE TOWN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu perkauman dan fahaman sempit tidak seharusnya menjadi fokus rakyat kerana ia tidak akan membantu negara mencapai kemajuan pada masa akan datang.
Perdana Menteri berkata, rakyat tidak seharusnya terperangkap dengan isu remeh seperti ketiadaan masjid dalam video promosi pelancongan, yang disifatkannya tidak memberi nilai tambah kepada pembangunan negara.
“Kita mahu rakyat tumpu kepada hal yang besar, bukan soal video pelancongan yang tidak nampak gambar masjid sehingga menjadi pertarungan hebat. Video pelancongan Kelantan pun tidak ada nampak masjid.
“Kalau ada kekurangan, beri cadangan untuk diperbaiki.Tetapi inilah dia, hal-hal isu kaum dibawa untuk meretakkan hubungan antara satu sama lain dan main sentimen kaum, kebencian satu sama lain,” katanya pada majlis pecah tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang, di sini, semalam.
Sebelum ini, video montaj Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 menerima kritikan termasuk daripada pemimpin pembangkang yang menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menarik balik video berkenaan kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.
Anwar berkata, perkara seperti perbalahan mengenai isu kaum, daerah dan negeri hanya akan mengalihkan perhatian daripada usaha penting membangunkan negara serta menjalin hubungan baik dengan kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat, dan Eropah.
Dalam pada itu Perdana Menteri mahu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menguruskan projek LRT Laluan Mutiara dengan cekap, disertai tadbir urus yang baik tanpa sebarang muslihat dan ketirisan seperti era-era terdahulu.
Beliau percaya proses pembinaan projek itu dapat dipercepatkan sekiranya MRT Corp mengekalkan rekod syarikat tersebut yang telus dan bersih.
Projek Laluan LRT Mutiara akan merangkumi jarak sejauh 29.5 kilometer, dengan 21 stesen yang terletak secara strategik, termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR).
Sementara itu ketika melawat Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin di Bukit Mertajam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM20.16 juta untuk diagihkan kepada 63 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh negara sebagai tanda menghargai khidmat bakti mereka selama ini.
“Kita hargai khidmat dan kesetiaan mereka untuk menyesuaikan kurikulum sekolah, menghormati bahasa kebangsaan dan mengangkat martabat rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.
Anwar berkata, sekolah itu dekat dengan hatinya kerana pernah menjadi guru sandaran Bahasa Melayu di sekolah yang terletak di tengah-tengah pekan Bukit Mertajam itu selepas menamatkan pengajiannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar suatu ketika dahulu. – UTUSAN






