GEORGE TOWN: Kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang diarah supaya sentiasa bersedia melaksanakan pelan mitigasi bagi mengelakkan berlakunya kesesakan trafik yang serius di kawasan tapak pembinaan LRT berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu penting memandangkan kerja-kerja pembinaan yang kini semakin rancak berjalan termasuk di kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dengan kemasukan jentera berat ke tapak-tapak projek.
“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan mereka (kontraktor) supaya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri bagi meminimumkan kesan pembinaan terhadap kesesakan jalan raya.
“Pelan mitigasi ini sedang kita laksanakan dan kita harap ia dapat terus ditambah baik oleh pihak kontraktor,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi bas diesel Rapid Penang di sini, hari ini.
Projek LRT Laluan Mutiara melibatkan jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km) yang menghubungkan 21 buah stesen dan lengkap dengan kemudahan letak kenderaan, bas pengantara serta dua depot utama di kawasan pulau.
Laluan itu melalui beberapa kawasan strategik termasuk LTAPP, Zon Perindustrian Bebas (FIZ), pusat bandar George Town dan Penang Sentral serta beberapa balai polis termasuk Balai Polis Jalan Tengah, Balai Polis Bayan Baru, Balai Polis Sungai Nibong dan Balai Polis Jelutong.
Menurut Anthony, sepanjang tahun ini juga, lebih banyak tapak pembinaan akan dibuka sekali gus berpotensi menjejaskan kelancaran aliran trafik khususnya kepada pengguna jalan raya yang berulang alik di pulau ini.
“Dalam melaksanakan projek besar seperti LRT ini, kesan terhadap trafik memang tidak dapat dielakkan. Jalan akan menjadi lebih sempit, kenderaan perlu diperlahankan dan ini boleh menyebabkan kesesakan yang lebih serius berbanding sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya bersabar dan memahami bahawa kesulitan sementara tersebut perlu dilalui bagi merealisasikan projek pengangkutan awam berskala besar yang memberi manfaat jangka panjang. – UTUSAN






