PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme mewajibkan semua parti politik mendedahkan sumber dana yang diperoleh tanpa mengira tujuan pembiayaan sama ada untuk berkempen atau sebarang aktiviti lain.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, masyarakat juga perlu diberikan akses untuk melihat sumber dana yang diterima setiap parti.
Selain itu katanya, pengisytiharan perbelanjaan pilihan raya perlu diaudit dan disahkan oleh pihak yang bertauliah sebelum dihantar kepada SPR
“Undang-undang pendanaan politik yang kukuh dan berkesan perlu diwujudkan dengan melibatkan keseluruhan aspek setiap parti di negara ini. Ia antara reformasi yang amat diperlukan dan perlu dilaksanakan segera.
“Perlu diingat, urusan pilihan raya perlu bebas dan telus. Pembiayaan politik perlu dibuat untuk tujuan keperluan kempen dan aktiviti lain serta perlu diisytiharkan. Ini sekali gus memastikan keseluruhan sistem pilihan raya ini berlaku adil,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sudah tiba masanya undang-undang pendanaan politik yang kukuh dan berkesan dibangunkan di negara ini bagi menangani isu rasuah.
Menurutnya, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengehadkan perbelanjaan kempen dan menghendaki pelaporan perbelanjaan pilihan raya, hanya terpakai kepada calon dan bukannya kepada parti politik.
Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, reformasi sistem pilihan raya di negara ini juga perlu dilakukan dalam aspek lain seperti proses penamaan calon secara dalam talian, pengundian elektronik dan mewujudkan pusat pengundian awal untuk pengundi yang tinggal di luar kawasan.
“Debat terbuka juga perlu dilakukan antara kepimpinan utama sebagaimana di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia.
“Ini semua antara syarat (dalam sistem pilihan raya) yang tidak perlu dirahsiakan lagi,” jelasnya.
Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau setuju dengan langkah berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu keperluan.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas sama ada wajar atau sebaliknya untuk memberi akses kepada awam melihat sumber dana setiap parti. – UTUSAN






