KOTA KINABALU: Peguam mewakili ibu pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir mendakwa bahawa usaha untuk menghentikan inkues kematian remaja yang telah berlangsung sejak September lalu itu dilakukan oleh penyokong kuat sebuah parti politik yang turut bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh pasukan peguam Noraidah Lamat hari ini, pihak sama turut menawarkan khidmat `peguam tersohor’ kepada wanita terbabit bagi menggantikan pasukan peguam sedia ada.
Pada ketika ini, pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd. Syarulnizam Mohd. Salleh, Mohd. Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
“Kami mendapati pemohon merupakan penyokong kuat kepada parti tokoh politik tersebut dan berkempen untuk parti politik tersebut.
“Kami berharap tindakan memfailkan permohonan tersebut tidak ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 dan tokoh politik yang terlibat dalam pendengaran prosiding hina mahkamah yang ditetapkan pada 1 Disember ini.
“Kami juga mengambil maklum bahawa pemohon merupakan antara pihak yang pada awalnya menyokong prosiding inkues dan malah turut ke premis Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu untuk mengikuti perkembangan inkues, “ujar kenyataan terbabit.
Pada 21 November lalu, media melaporkan bahawa Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menghentikan dan membatalkan keseluruhan inkues kematian Zara Qairina yang sedang berjalan.
Ia atas dakwaan inkues itu diadakan mengikut Kanun Tatacara Jenayah dan bukannya Ordinan Inkues negeri 1959.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 1 Disember ini untuk pendengaran permohonan komital terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan aktivis, Mona Din selepas kertas kause terhadap kedua-dua individu itu berjaya diserahkan.
Pada 23 Oktober lalu, Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan ex parte (sebelah pihak) pihak pendakwaan untuk memula prosiding hina mahkamah terhadap Mohd. Shafie dan Mona atau nama sebenarnya Che Muna Din berkait dengan kenyataan yang dibuat mereka berhubung inkues Zara Qairina.
Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara atau didenda.
Selain itu, kenyataan itu turut menyatakan bahawa selepas permohonan semakan kehakiman itu difailkan, terdapat pihak yang telah menghubungi Noraidah.
“Secara ringkasnya, kandungan pesanan ringkas tersebut menyatakan permohonan semakan kehakimandibuat atas arahan peringkat atasan namun tidak didedahkan nama pihak atasan tersebut.
“Individu tersebut (penghantar pesanan ringkas) beranggapan prosiding inkues adalah tindakan politik dirancang, pembatalan prosiding inkues akan membolehkan keadilan fokus kepada pertuduhan jenayah di Mahkamah Kanak-Kanak dan terdapat peguam ‘tersohor’ yang bersedia untuk mewakili Ibu Zara.
“Pihak kami menegaskan bahawa prosiding inkues bukanlah sebahagian daripada rancangan politik. Sebaliknya, permohonan inkues ini telah dimohon oleh pihak kami atas arahan yang diberikan oleh ibu Zara Qairina.
“Ia adalah kehendak seorang ibu yang telah kehilangan satu-satu anaknya,” kata kenyataan itu.
Pasukan peguam itu juga mendapati terdapat ahli politik daripada sebuah parti politik Semenanjung yang berkempen di Sabah telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat
menghina mahkamah (contempt) di media sosial.
“Seperti yang sedia maklum, prosiding hina mahkamah terhadap dua orang individu terdiri daripada tokoh politik tempatan dan pempengaruh telah dijadualkan untuk pendengaran pada hari Isnin, 1 Disember ini.
“Pihak kami ingin mengingatkan bahawa inkues Zara Qairina adalah prosiding Mahkamah yang masih berjalan dan kenyataan-kenyataan yang bersifat spekulatif, menuduh pihak tertentu tanpa asas atau cuba menggambarkan dapatan awal yang belum diputuskan boleh dianggap subjudis dan mempunyai kecenderungan mengganggu proses keadilan.
“Pasukan peguam sedang meneliti kenyataan-kenyataan berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak sekiranya ia menjejaskan hak keluarga atau merosakkan integriti prosiding mahkamah,” katanya.
Kenyataan itu turut meminta agar mana-mana pihak agar tidak mengambil sebarang tindakan termasuk mengadakan perhimpunan awam yang boleh memberikan tekanan atau mempengaruhi prosiding sekaligus menjejaskan persepsi terhadap kebebasan dan ketelitian mahkamah. – UTUSAN





