KUALA SELANGOR: Tapak pelupusan sampah haram dekat Kampung Seri Sentosa, Ijok didakwa sudah berlarutan lama selepas para pemiliknya menambak tanah mereka tanpa kebenaran sejak 2008.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Hanafe Basri berkata, susulan itu tindakan sudah pun diambil termasuk mengeluarkan 33 Notis 7A dan 28 Notis 7B di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1995 kepada pemilik oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Kuala Selangor.
Katanya, notis itu diberikan kepada pemilik tanah yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penambakan secara tidak sah.
“Sebanyak 28 lot tanah berjaya diremedi selepas tindakan lanjut diambil. Tiga pemilik tanah mengambil inisiatif meremedi tanah mereka lebih awal sebelum Notis 7B dikeluarkan, menjadikan keseluruhan tanah yang diremedi sebanyak 31 lot. Baki dua lot lagi dalam proses penyediaan Notis 7B (pelucutkan hak milik).
“Bagi pastikan penyelesaian jangka panjang lebih berkesan, MPKS mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan iaitu perjumpaan dengan pemilik tanah dan operasi bersepadu dengan PDT Kuala Selangor.
“Selain itu, MPKS mencadangkan pemasangan papan tanda larangan dan hebahan awam serta pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat berkenaan aktiviti pembuangan sampah secara haram,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambahnya, kawasan tersebut turut melibatkan Kampung Sri Aman yang mula didiami sejak 2008 selepas melalui proses pelupusan tanah kerajaan.
“Bermula pada 2008, MPKS mengeluarkan amaran lisan serta notis kompaun kepada individu dan pihak yang terlibat dalam aktiviti penambakan tanah dan pembuangan sampah haram.
“Pada 2016, MPKS mengambil langkah lebih drastik dengan menutup kawasan pembuangan sampah haram yang diadukan.
“Kita juga mengorek parit bagi menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan tersebut. Selain itu, pintu pagar dan pondok haram yang dibina di laluan masuk ke kawasan berkenaan turut dirobohkan,” jelasnya.
Nexbyte sebelum ini melaporkan tapak pelupusan sampah haram yang terletak di Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor itu dahulunya seluas 20 hektar, tetapi kini melebar dengan keluasan sehingga kira-kira 52 hektar.
Jelas Mohamad Hanafe, dalam tempoh 2020 hingga 2025, MPKS mengambil tindakan penguatkuasaan secara berterusan dengan menyita 135 kenderaan, mengeluarkan 281 kompaun dan 20 notis.
Malah pada 2023 MPKS mencatatkan jumlah sitaan tertinggi melibatkan 34 kenderaan, pengeluaran 75 kompaun dan lapan notis. – UTUSAN






