KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sebanyak 18 saman trafik pernah dikeluarkan kepada pemandu bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, daripada 18 saman itu, sebanyak 13 saman dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar manakala selebihnya kesalahan tiada lampu brek ketiga dan tiada lampu kemalangan.
Katanya, semua saman tersebut belum diselesaikan pemandu terbabit.
“Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.
“Bagaimanapun rekod saman ke atas bas terbabit, 16 sudah dijatuhi hukum manakala baki lima saman masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Nexbyte semalam.
Sebelum ini, Mohd. Yusri dilaporkan berkata, PDRM akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan nahas tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman terhadap pemandu bas persiaran terbabit selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping.
“Lelaki itu masih mendapatkan rawatan di hospital. Kita tunggu dia discaj dulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN





