PETALING JAYA: Dua kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini akibat pengaruh jerebu rentas sempadan.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, bacaan IPU di Kuching, Sarawak mencatatkan 111 manakala Johan Setia, Selangor merekodkan 152 setakat pukul 3 petang, hari ini.
“Sebanyak lima kawasan berada pada tahap kualiti udara baik, manakala 61 kawasan lagi mencatatkan tahap sederhana.
“Tiada kebakaran besar dilaporkan yang boleh menyebabkan jerebu setempat. Kemerosotan kualiti udara di kedua-dua kawasan terlibat dipengaruhi oleh jerebu rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 24 Julai lalu, satelit NOAA-20 mengesan 22 titik panas di Sumatera, 154 di Kalimantan serta 73 di dalam negara iaitu 16 di Sarawak dan satu di Pahang.
“Peta jerebu serantau yang dikeluarkan ASMC menunjukkan keadaan kering dan mendung di kebanyakan kawasan Asia Tenggara, kecuali beberapa lokasi di tengah Sumatera dan Semenanjung Malaysia yang menerima hujan.
“Beberapa titik panas terpencil turut dikesan di Semenanjung, Sarawak, Kalimantan dan Sumatera, manakala kepulan asap sederhana dikesan keluar dari kawasan panas di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 24 Julai, JAS telah melaksanakan 4,184 rondaan darat dan 645 penerbangan dron bagi memantau aktiviti pembakaran terbuka.
Jelasnya, sebanyak 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah dan 59 kompaun telah dikeluarkan terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka sepanjang tahun ini.
Wan Abdul Latiff berkata, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan semua agensi kerajaan terlibat.
“Antara tindakan yang akan dilaksanakan termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sekiranya IPU melebihi 150 bagi tempoh melebihi 24 jam.
“Semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta jika bacaan melebihi 200.
“Operasi pembenihan awan (OPA) juga akan dijalankan sekiranya keadaan cuaca dan kehadiran awan adalah sesuai, apabila IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam,” katanya. – UTUSAN






