PETALING JAYA: Jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini dijangka berterusan tanpa perubahan ketara dalam tempoh tiga hingga lima hari akan datang.
Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Maqrun Fadzli Mohd. Fahmi berkata, hujan diramalkan berlaku di beberapa tempat tetapi tidak cukup memperbaiki kualiti udara secara menyeluruh.
“Daripada maklumat yang kami ada setakat ini, kita tidak melihat ada satu perubahan besar daripada situasi ini. Kita jangka keadaan ini akan hampir sama juga dan dalam beberapa hari akan datang, akan ada sedikit hujan berbanding keadaan kering sekarang.
“Kita harap hujan membantu tetapi kalau keadaan udara banyak berjerebu, hujan yang sedikit mungkin tidak mampu menghilangkan kesan jerebu tersebut,” katanya dalam program Fokus 15: Ancaman Jerebu Rentas Sempadan.
Setakat tengah hari tadi, data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan 10 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Kawasan terbabit ialah Samarahan, Serian, Kuching, Sri Aman, Sarikei, Mukah dan Sibu di Sarawak serta Johan Setia di Selangor, Cheras di Kuala Lumpur dan Minden di Pulau Pinang.
Maqrun Fadzli berkata, keadaan jerebu lebih serius dikesan di bahagian barat dan selatan Sarawak sehingga mengakibatkan lebih 100 sekolah di Serian ditutup, selain turut menjejaskan beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Lembah Klang.
Beliau berkata, keadaan itu dipengaruhi Monsun Barat Daya yang lazimnya berlaku antara Mei hingga September yang membawa cuaca lebih kering dan taburan hujan yang rendah.
Katanya, kekurangan hujan menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan meningkatkan risiko berlakunya pembakaran yang menghasilkan asap serta jerebu.
“Apabila kita tidak mendapat banyak hujan, cuaca akan menjadi lebih panas dan keadaan panas ini menyumbang kepada risiko berlakunya pembakaran.
“Daripada pembakaran tersebut terhasil asap dan apa yang kita panggil sebagai jerebu,” katanya.
Maqrun Fadzli berkata, MetMalaysia terus memantau titik panas menerusi imej satelit bagi mengesan kebakaran hutan.
Katanya, data tersebut kemudiannya digabungkan dengan maklumat arah tiupan angin untuk meramalkan pergerakan asap dan zarah terampai serta mengenal pasti kawasan yang berisiko mengalami jerebu lebih buruk.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengehadkan aktiviti di luar rumah bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan susulan kualiti udara yang tidak memuaskan. – UTUSAN






