KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyasarkan seramai 148 pakar patologi forensik menjelang 2030 bagi menangani ketandusan pakar dalam bidang itu yang boleh menjejaskan kelancaran siasatan jenayah dan integriti sistem perundangan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setakat 30 Jun lalu, KKM mempunyai seramai 56 pakar patologi forensik, termasuk 50 yang telah diwartakan dan enam lagi dalam proses pewartaan serta berkhidmat di 27 hospital di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai empat pakar forensik mempunyai kepakaran khusus dalam bidang antropologi forensik (Forensic Anthropology) dan kini ditempatkan di tiga hospital KKM,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH–Ampang) mengenai pelan tindakan dan strategi KKM dalam menangani kekurangan pakar forensik terutama dalam bidang patologi dan antropologi, memandangkan nisbah semasa adalah seorang pakar patologi forensik bagi setiap 1.1 juta penduduk Malaysia.
Menurut Dzulkefly, beberapa strategi sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran jumlah pakar menjelang 2030 termasuk kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan slot pengajian bagi Program Sarjana Perubatan telah ditambah daripada 1,100 kepada 1,600 slot bermula sesi 2023/2024 bagi 23 bidang kepakaran.
Menurut beliau, bagi bidang Patologi Forensik, tiga universiti awam menawarkan sekitar 10 slot setahun dan setakat ini, 44 pegawai perubatan sedang mengikuti pengajian dalam bidang ini.
Katanya, Latihan Kepakaran Laluan Parallel KKM juga menyediakan sehingga 600 slot latihan kepakaran setiap tahun merangkumi 14 bidang.
“Bagi Patologi Forensik, lima slot diperuntukkan dan kini terdapat empat pelatih sedang mengikuti laluan ini dengan kelayakan Diploma of Jurisprudence dari United Kingdom.
“Mulai tahun 2024, program Latihan Laluan Parallel dalam Patologi Forensik turut menawarkan kelayakan Fellowship of the Royal College of Pathologists of Australasia (FRCPA).
“Selain itu, KKM juga menawarkan tujuh bidang latihan kepakaran lanjutan (Area of Interest) kepada pakar perubatan forensik termasuk dalam bidang Antropologi Forensik bagi memperkukuh keupayaan penyiasatan kes-kes berkaitan jenayah kompleks,” katanya. – UTUSAN






