KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,980 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan bagi tempoh 2024 sehingga kini melibatkan anak-anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua permohonan itu diproses di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan sementara menunggu pelaksanaan pindaan baharu yang akan membolehkan pemberian taraf kewarganegaraan dilakukan secara automatik.
“Bagi tempoh tahun 2024 hingga 2025, kita telah membuat kelulusan sebanyak 1,980 permohonan, banyak permohonan tahun 2024 hingga 2025 setakat saya bagi jawapan ini, tidak ada lagi yang kita tidak luluskan kecuali purata permohonan baru sekarang ini masuk lebih kurang 100 sebulan.
“Jadi, kemasukan ini kita belum proses mengikut pindaan kerana yang kita telah luluskan kerana 2024 hingga 2025 yang kita proses mengikut (Perkara) 15.2 adalah 1,980,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Chie Choon Man (PH-Miri) mengenai garis panduan terkini bagi kanak-kanak warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara berikutan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada awal tahun ini.-UTUSAN






