PETALING JAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan terbaharu rejim Zionis Israel untuk mengambil alih Gaza secara menyeluruh.
Kementerian Luar menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan dirancang itu menggambarkan niat sebenar rejim berkenaan untuk menduduki wilayah Palestin secara kekal.
“Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah memperlekehkan prinsip asas hak asasi manusia serta keadilan sejagat.
“Selepas lebih 22 bulan serangan pengeboman berterusan, sekatan yang menyekat akses kepada keperluan asas dan pengusiran paksa terhadap lebih 90 peratus penduduk Gaza, langkah ini jelas bertujuan menamatkan terus penyelesaian dua negara,” katanya.
Kementerian turut memberi amaran bahawa jika Israel terus bertindak sewenang-wenangnya, segala usaha ke arah proses damai akan terkubur, manakala hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri akan terus dinafikan.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa semua negara agar menolak sepenuhnya dasar aparteid Israel dan mengambil tindakan tegas serta konkrit bagi mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Selain itu, memastikan gencatan senjata secara kekal, pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dan penamatan semua sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.
“Semua negara juga perlu membenarkan bantuan disalurkan tanpa sebarang halangan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya. – UTUSAN






