PORT DICKSON: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera dirempuh bot pancung yang disyaki membawa sekumpulan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejadian itu berlaku dalam satu aksi kejar mengejar antara pihaknya serta bot pancung berkenaan.
Katanya, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut telah mengesan sebuah bot mencurigakan pada pukul 8.00 malam semalam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS) disyaki menuju masuk ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.
“Susulan itu, aset Bot Ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima telah diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.
“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif apabila dikejar, malah merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum berjaya meloloskan diri.
“Dalam kejadian tersebut, seorang anggota cedera di bahagian atas hidung, manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki dan tangan akibat hentakan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar beliau lagi, kedua-dua anggota telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
Bagaimanapun menurutnya, bot yang membawa PATI itu dipercayai telah berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan.
“Operasi pengesanan serta tindakan khas kini sedang giat dilaksanakan bagi menjejaki suspek dan rangkaian penyeludupan yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.
“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa maritim berisiko tinggi, kerana sentiasa berhadapan ancaman secara langsung di laut termasuk dirempuh, malah berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara,” katanya.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau pendaratan PATI diminta menyalurkannya segera kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau hubungi talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – UTUSAN






