KOTA KINABALU: Pegawai polis yang melakukan simulasi jatuhan berkait kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Asrama Blok Rabiatul Adawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar tidak pernah merujuk kesan kerosakan pada patung kepada pakar patologi, Dr. Jessie Hiu.
Inspektor Maidon Bernados dari Bahagian Siasatan Jenayah D10 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah berkata, beliau tidak berbuat demikian kerana tidak diarahkan oleh pegawai atasannya.
Pegawai polis itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.
Saksi itu juga mengesahkan bahawa patung tersebut mengalami kerosakan tersebut selepas dijatuhkan dan bukan ditolak jatuh.
Shahlan: Kamu tahu yang Dr. Jessie juga pernah ke lokasi kejadian ada 2 Ogos lalu?
Maidon: Saya hanya tahu selepas selesai menjalankan simulasi jatuhan (3 Ogos).
Shahlan: Selepas patung dijatuhkan, adakah sebarang kerosakan terhadap bahagian kepala patung?
Maidon: Ada. Retak bermula di bahagian tepi kepala sehingga ke bahagian belakang.
Shahlan: Ada kerosakan di bahagian atas kepala?
Maidon: Tiada kesan retak tapi ada kesan hentakan.
Semalam, doktor yang pertama menerima dan merawat Zara Qairina ketika mula-mula dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Janefer Voo tidak menolak kemungkinan bahawa kecederaan yang ada di bahagian atas kepala remaja terbabit disebabkan oleh trauma akibat objek tumpul (blunt force trauma).
Shahlan: Ada rujuk kesan kerosakan patung kepada Dr. Jessie? Bukankah Dr. Jessie boleh buat pengesahan kecederaan dengan arwah Zara Qairina (dengan kerosakan patung)?
Maidon: Boleh (buat pengesahan) tetapi saya tidak rujuk (kepada Dr. Jessie) kerana tidak mendapat arahan daripada pegawai atasan.
Selain kerosakan pada bahagian kepala, patung yang digunakan dalam simulasi jatuhan itu turut patah kedua-dua belah kakinya.
Pada awal inkues, Dr. Jessie menyatakan antara kecederaan yang dialami pada bahagian kaki remaja terbabit adalah lebam pada pergelangan kaki kanan, patah remuk di bahagian distal tibia kanan melibatkan sendi pergelangan kaki, serta luka melecet pada kaki kiri.
Turut terdapat lebam pada pergelangan kaki dan kaki kiri, bahagian distal tibia kiri hancur dan senget, patah remuk pada bahagian kalkaneum (tulang tumit) dan tulang sendi buku lali terkehel. – UTUSAN





