KOTA KINABALU: Ketua warden, Azhari Abd. Sagap memberitahu dia trauma ketika melihat keadaan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir sewaktu diangkat sejauh 20 meter daripada remaja terkait ditemukan.
Saksi kelapan itu yang turut dikenali sebagai Ustaz Azhari berkata demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues kematian remaja terbabit di sini hari ini.
Mohd. Fairuz: Berapa jarak antara tempat Zara Qairina diangkat sehingga diletakkan?
Azhari: Kira-kira 20 meter.
Mohd. Fairuz: Kenapa tak letak je di bilik ketua pelajar (di sebelah kawasan Zara Qairina ditemukan)
Azhari: Saya yang angkat dan tengok keadaan Zara pun trauma. Kalau saya letak di bilik tersebut nanti ahli di dalam itu pula yang trauma.
Mohd. Fairuz: Berapa dan siapa dalam bilik tersebut?
Azhari: Ada ketua pelajar (tiga orang) dan seorang pelajar tingkatan satu yang ditempatkan di situ kerana ada masalah kaki.
Menjawab pertanyaan kenapa Azhari mengarahkan Zara Qairina dialihkan, guru yang mengajar Bahasa Arab dan kelas khas kemahiran Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu menyatakan beliau bertindak demikian kerana ingin membawa pelajar itu ke hospital dengan kenderaan sendiri.
Mohd. Fairuz: Kenapa awak alihkan sehingga ke bilik warden?
Azhari: Sebab saya mula fikir nak bawa Zara terus ke hospital dengan kereta sendiri tetapi sebab keberatan, letak di situ (lagipun) terlindung daripada (pandangan) pelajar lain.
Mohd. Fairuz: Kenapa tak biarkan sehingga ambulan sampai?
Azhari: Semasa saya sampai, saya tak nampak apa-apa kecederaan ada Zara Qairina. Lepas angkat, baru nampak kesan darah, cedera di pergelangan kaki kiri. Saya (arah) angkat sebab nak bawa ke hospital.
Prosiding inkues yang memasuki hari kelapan bersambung pukul 2 petang ini.





