MELAKA: Menara Telekomunikasi Bukit Melaka di Banda Hilir yang berusia puluhan tahun kini berwajah baharu selepas dinaik taraf ala Menara Eiffel di Perancis, sekali gus muncul sebagai ikon pelancongan terbaharu negeri ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, menara telekomunikasi tertua dan pertama di negara ini masih berfungsi sebagai pusat komunikasi, namun kini diberi nafas segar melalui kerja-kerja baik pulih dan pemasangan lampu pelbagai warna dengan kos kira-kira RM270,000.
“Struktur setinggi 76 meter ini dibaik pulih dengan kerjasama Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH), ia bukan sahaja mengekalkan fungsi asal menara, tetapi turut diangkat sebagai produk pelancongan baharu bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang berlangsung dari 27 hingga 29 September ini.
“Dengan latar belakang bangunan merah dan Menara Jam, menara ini mampu menjadi lokasi pelancong merakam kenangan indah ketika berada di Melaka,” katanya selepas Majlis Penyempurnaan Program Road To World Tourism Day (WTD) 2025 oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh di sini malam tadi.
Menurut Shadan lagi, selain menara tersebut, MBMB turut memperkenalkan Unit Berkuda Pelancongan yang akan ditempatkan di sekitar Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir pada hujung minggu serta sempena WTD 2025.
“Selain menara, kami turut memperkenalkan Unit Berkuda Pelancongan di sekitar Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir pada hujung minggu. Dua ekor kuda bersama enam penguat kuasa MBMB akan memberi pengalaman unik kepada pengunjung.
“Sebagai agensi penyelaras, MBMB telah bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran lalu lintas, kebersihan dan keceriaan lokasi agar lebih 150 menteri pelancongan dunia serta delegasi Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) berasa selamat dan selesa di Melaka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan MBMB kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh sebagai agensi penyelaras bersama jawatankuasa penganjur antarabangsa itu.
Katanya, MBMB bertanggungjawab memastikan kelancaran lalu lintas, kebersihan serta keceriaan lokasi penganjuran agar lebih 150 menteri pelancongan dunia serta delegasi UNWTO berasa selesa dan selamat sepanjang berada di Melaka. – UTUSAN






