MELAKA: Penganjur tapak perniagaan sementara, Puteri Walk di Pantai Puteri di sini menyatakan caj bulanan RM200 yang dikenakan kepada peniaga bukan bertujuan membebankan, sebaliknya untuk mereka berniaga dalam keadaan selesa dan teratur.
Wakil penganjur, Mohd. Yusni Md. Yunus berkata, caj tersebut digunakan untuk menampung kos penyediaan kemudahan asas termasuk lampu, kebersihan, kawalan keselamatan serta promosi kawasan peranginan itu sebagaimana diarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Mohd. Yusni berkata, hasrat penganjur adalah memastikan peniaga beroleh pulangan sepanjang kerja-kerja tambakan laut dijalankan di lokasi lama.
“Mengikut draf awal, kami mampu menyediakan 74 tapak dan rata-rata peniaga asal sudah bersetuju berpindah sementara ke Puteri Walk berikutan kerja tambakan laut di lokasi lama.
“Hasrat utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi juga adalah untuk mengutamakan peniaga asal kawasan ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan, seramai 92 peniaga kecil di Pantai Puteri mendesak proses perpindahan ke tapak sementara termasuk pemilihan penganjur dibuat secara telus menerusi perbincangan bersama Persatuan Peniaga Pantai Puteri Melaka (PPPPM).
Mereka mendakwa, kadar sewa tapak yang dikenakan sangat membebankan apabila tapak khemah berukuran 10 kali 10 kaki dikenakan RM200 sebulan termasuk yang menggunakan kabin sendiri. Peniaga juga didakwa perlu memotong kabin jika panjang melebihi enam kaki.
Mohd. Yusni berkata, sesi penerangan dan temuduga telah diadakan sebelum proses pemindahan bermula pada 9 September lalu, namun segelintir peniaga enggan berpindah kerana sudah terbiasa berniaga tanpa sewa di tapak asal.
“Itulah punca timbul bantahan, sedangkan MBMB sudah menjelaskan tapak ini hanya bersifat sementara dan selepas projek tambakan pasir selesai, lokasi lebih kekal serta selesa akan disediakan.
“Kami juga tidak mahu peniaga rugi, sebab itu usaha promosi dijalankan agar pelanggan terus datang dan perniagaan mereka berkembang,” katanya.
Katanya, daripada lebih 100 peniaga, kira-kira 70 peratus telah mendaftar dan bersetuju, malah ada peniaga baharu yang berminat tetapi jumlah tapak tidak mencukupi. – UTUSAN





