PETALING JAYA: Sindiket penipuan tawaran kerja sambilan telah menyebabkan kerugian dalam kalangan mangsa sehingga mencecah RM275.5 juta dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, berdasarkan rekod, seramai 9,186 individu telah menjadi mangsa penipuan pekerjaan sejak 2023 sehingga Jun lalu dengan golongan berusia 21 hingga 30 tahun dikenal pasti paling ramai menjadi mangsa.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, golongan wanita paling ramai mudah termasuk jerat sindiket penipuan ini apabila seramai 6,021 mangsa direkodkan manakala lelaki (3,165 orang).
“Mereka yang berusia 20 sehingga 30 tahun merupakan golongan yang paling banyak tertipu apabila seramai 3,521 orang menjadi mangsa diikuti umur 31 sehingga 40 tahun (2,460 orang); 41 hingga 50 tahun (1,366 orang).
“Turut menjadi sasaran adalah golongan berusia 15 sehingga 20 tahun dengan seramai 787 orang menjadi mangsa selain mereka berumur 51 hingga 60 tahun (706 orang) dan 61 tahun ke atas (346 orang),” katanya kepada Nexbyte di sini.
Kata Rusdi, antara tawaran kerja yang sering dijadikan umpan termasuk tugasan mudah seperti menekan butang ‘like’ dan ‘share’ video selain pembelian barang secara maya serta kerja memasukkan data.
Menurutnya, mangsa akan dihubungi secara rawak melalui WhatsApp, Telegram, Facebook, TikTok dan Instagram sebelum sindiket memperdaya mereka dengan menggunakan akaun palsu, gambar wanita cantik atau profil kononnya pegawai sumber manusia (HR).
Jelasnya, pada peringkat awal, tugasan yang sangat mudah diberikan bagi membina keyakinan mangsa selain mereka akan menerima bayaran kecil selepas menyelesaikan tugasan itu, sekali gus membuatkan mangsa percaya bahawa tawaran kerja berkenaan benar-benar wujud.
“Namun selepas beberapa tugasan, sindiket mula memperdaya mangsa apabila meminta bayaran dengan menggunakan pelbagai alasan seperti untuk ‘naik level’, membuka tugasan premium, menyertai tugasan berkumpulan atau bundle task.
“Lebih lama mangsa terjerat, lebih tinggi jumlah bayaran yang diminta dan mangsa juga dijanjikan semua modal yang dibayar akan diperoleh semula bersama keuntungan berlipat ganda,” jelasnya.
Rusdi memberitahu, bagi meyakinkan lagi helah, sindiket menggunakan laman web serta aplikasi palsu untuk memaparkan kononnya jumlah keuntungan terkumpul dan baki belum dituntut.
Katanya, sindiket akan menggunakan istilah profesional seperti pending withdrawal, mission incomplete dan auto match bagi meyakinkan mangsa bahawa wang mereka selamat dan hanya boleh dikeluarkan selepas semua tugasan selesai.
“Namun realitinya, selepas mangsa membuat bayaran dalam jumlah besar, sindiket akan menghilangkan diri.
“Dalam sebahagian kes, setelah membuat bayaran yang besar, sindiket akan menyekat segala perhubungan dengan mangsa manakala ada kes lain juga sindiket akan menutup operasi mereka setelah mengumpul jumlah wang yang banyak,” ujarnya.
Katanya, aplikasi atau laman web yang dibangunkan sindiket penipuan pekerjaan ini juga tidak lagi dapat diakses selain semua kumpulan di WhatsApp dibubarkan tanpa jejak.
Tegasnya, penipuan pekerjaan ini tidak mengenal mangsa kerana melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, umur atau jantina.
“Masyarakat perlu lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan janji pekerjaan luar biasa yang hakikatnya hanyalah helah licik sindiket untuk mengaut keuntungan atas penderitaan orang lain,” katanya.
Pada 10 Julai lalu, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun terpaksa meminjam wang daripada Ah Long selepas diperdaya sindiket penipuan kerja dalam talian yang kemudian mengugut menyebarkan gambar bogelnya.
Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa dari Ipoh, Perak menyertai satu kumpulan Telegram yang menawarkan ganjaran wang tunai untuk tugasan mudah. – UTUSAN





