KUALA LUMPUR: Sepucuk dokumen bertajuk surat pelantikan yang kononnya melibatkan pihak tertentu bagi membantu pemulangan wang kepada mangsa penipuan dalam talian disahkan sebagai palsu dan tidak pernah dikeluarkan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, surat berkenaan yang didakwa ditandatanganinya turut menyatakan National Anti-Financial Crime Centre (NFCC) dilantik oleh JSJK sebagai entiti rasmi melaksanakan program pemulangan wang mangsa penipuan.
Menurut beliau, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
“JSJK tidak pernah mengeluarkan dokumen berkenaan dan program bantuan pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam surat itu tidak wujud.
“Sebarang dakwaan berkaitan perkara tersebut adalah palsu dan dipercayai bertujuan menipu orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rusdi menjelaskan, proses pemulangan wang kepada mangsa penipuan bukanlah satu program bantuan khas, sebaliknya merupakan komitmen dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan peruntukan undang-undang, hasil siasatan serta keputusan mahkamah.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan dokumen terbabit.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak berurusan dengan mana-mana pihak yang menawarkan khidmat pemulangan wang, khususnya yang meminta bayaran, maklumat peribadi, butiran perbankan atau dokumen pengenalan diri dengan menggunakan nama PDRM, JSJK atau mana-mana agensi kerajaan tanpa pengesahan rasmi,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi PDRM atau balai polis berhampiran serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. – UTUSAN





