KOTA KINABALU: Sehari sebelum pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu, salah seorang pengawal keselamatan telah menerima aduan mengenai kecurian wang.
Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang menjaga asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar berkata, dia telah menerima aduan itu ketika meronda di Blok A, Rabiatul Adawiyah.
Dia yang merupakan saksi pendakwaan keenam inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini berkata, pelajar yang dinamakan sebagai A itu bagaimanapun tidak memberitahunya siapa yang disyaki berbuat demikian.
Wanita terbabit juga memberitahu, dia hanya mengetahui bahawa Zara Qairina telah disyaki mencuri selepas insiden malang tersebut.
Linah membuat kenyataan tersebut ketika ditanya oleh peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.
Shahlan: Untuk kes Zara Qairina ni, puan ada dengar apa-apa cerita dari budak-budak (penghuni asrama)?
Linah: Kalau selepas kejadian, memang ada dengar Zara ini dituduh mencuri oleh A. Duit dia (A) hilang. Sebelum kejadian ada jumpa A di tempat jemuran kain, dia cakap aunty, dompet saya hilang sudah, tadi pagi ada, sekarang tiada. Saya tanya berapa duit hilang, A cakap RM300 dengan kad bank.
Lepas kejadian, Ustaz Rizani (salah seorang warden) suruh ketua pelajar cari ketua dorm Zara (seorang pelajar yang dinamakan sebagai E). Ketua pelajar turun dari dorm, (jumpa Ustaz Rozani) dia beritahu `dia (Zara Qairina) kena tuduh curi duit si A. Si A mengadu pada pelajar senior yang si anu (Zara Qairina) ambil duit dia. Mungkin dorang (mereka) panggil Zara.
Shahlan: Siapa dorang ini?
Linah: Itu, B, C, D, E.
Identiti A, B, C, D, E dirahsiakan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mereka merupakan lima remaja yang didakwa membuli Zara Qairina di Mahkamah Kanak-Kanak pada 20 Ogos lalu.
Mengikut seksyen tersebut, mana-mana pihak dilarang mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding undang-undang termasuk nama, alamat, dan gambar, melalui mana-mana media massa untuk melindungi privasi mereka.
Larangan ini memastikan kerahsiaan kanak-kanak sama ada sebagai tertuduh, mangsa, atau saksi dan individu boleh dikenakan tindakan sekiranya larangan itu tidak dipatuhi.
Shahlan: Dalam ramai-ramai budak-budak, kenapa Zara Qairina yang dituduh?
Linah: Tak tahu.
Shahlan: Kenapa A mengadu pada pelajar senior?
Linah: Dia mengadu sebab mereka yang jaga tingkatan satu. (Pelajar) tingkatan satu ada tiga (dorm), setiap satu dorm dijaga oleh senior, jaga adik-adik.
Shahlan: Bila Zara dituduh mencuri, apa senior buat?
Linah: Tak tahu, mungkin mereka panggil (Zara Qairina) tanya.
Shahlan: Ada apa-apa tindakan yang diambil Ustaz Rizani selepas tahu Zara Qairina dituduh curi duit?
Linah: Tiada. Lepas dia diberitahu,mungkin dia ada jumpa pelajar tapi (sejurus) selepas dia diberitahu, dia (Ustaz Rizani) tiada jumpa sesiapa.
Shahlan: Ada tak kemungkinan,Zara Qairina kena MA sebab dituduh mencuri?
Linah: Mungkin.
Prosiding inkues bersambung 2.15 petang ini.-UTUSAN






