KUALA LUMPUR: Rejim Zionis dikesan terus melancarkan ugutan terhadap sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ketika ini semakin menghampiri perairan Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, maklumat diterima mendapati terdapat ancaman lebih intensif daripada rejim terbabit dipercayai bertujuan menggagalkan misi kemanusiaan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang pengesahan rasmi diterima daripada Israel setakat ini, sebaliknya tindakan itu lebih kepada usaha menimbulkan rasa takut dalam kalangan sukarelawan.
“Kita dimaklumkan mengenai ancaman tersebut hari ini, namun belum ada maklumat lanjut diperoleh daripada pihak Israel sendiri.
“Namun, hasil perbincangan dengan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati ugutan itu lebih menjurus kepada propaganda untuk melemahkan semangat sukarelawan yang sedang berlayar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program Santuni Komuniti Cacat Penglihatan 2025 di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Na’im, kedudukan kapal flotilla yang semakin hampir dengan zon kuning pantai Gaza menyebabkan rejim Zionis menggunakan pelbagai cara termasuk perang psikologi bagi menghalang misi berkenaan daripada sampai ke destinasi.
Terdahulu, beliau melancarkan buku braille berkaitan perundangan syariah bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang diterbitkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
Jelas Mohd. Na’im, inisiatif itu memberi kemudahan kepada komuniti berkenaan untuk membuat rujukan, khususnya dalam urusan berkaitan kekeluargaan di Mahkamah Syariah.
“Buku panduan bertajuk Ke Arah Pengukuhan Institusi Kekeluargaan serta Surah Yasin sudah diterbitkan dan naskhah tersebut akan diedarkan ke semua Mahkamah Syariah di seluruh negara.
“Penerbitan ini hasil kerjasama antara BSK dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis). Jika ada keperluan, kita akan terus menambah bilangan naskhah untuk manfaat masyarakat,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 200 naskhah telah dicetak setakat ini dan jumlah itu akan ditambah bergantung kepada permintaan.
Katanya, penerbitan tersebut diharap menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan menghasilkan lebih banyak bahan bacaan braille berunsur perundangan serta kehakiman syariah.
“Maklumat berkaitan perundangan syariah dalam bentuk braille masih kurang. Justeru, saya harap JKSM dapat meneruskan usaha ini supaya golongan OKU penglihatan tidak ketinggalan dalam mengakses ilmu dan maklumat undang-undang Islam,” jelasnya. – UTUSAN






