KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya meningkatkan jumlah Rakan Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8,400 buah kedai di seluruh negara setakat 21 Oktober ini, berbanding hanya 700 buah kedai pada tahun 2024.
Timbalan Menteri Kewangan I, Lim Hui Ying berkata, peningkatan itu kini meliputi pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman bagi memastikan penerima bantuan mendapat akses mudah kepada barangan keperluan asas.
“Kerajaan kekal konsisten dalam melindungi dan memastikan peniaga kecil serta kedai runcit persendirian turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan SARA,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat, hari ini.
Hui Ying berkata, bagi memudahkan pelaksanaan dan memperluas capaian, program SARA turut digabungkan dengan Program Jualan Rahmah bagi membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad di premis yang sama.
Katanya, penetapan lokasi Rakan Niaga SARA turut mengambil kira bilangan penerima bantuan di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan jarak sekurang-kurangnya 10 kilometer antara satu premis ke premis lain bagi memastikan akses seimbang di seluruh negara.
Selain itu, katanya, kerajaan turut mengadakan sesi libat urus bersama persatuan dan agensi berkaitan bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak kedai runcit serta koperasi tempatan, termasuk Koperasi Penjara Berhad (KOPEN), Koperasi FELCRA dan Koperasi FELDA Sungai Koyan 2.
Menurut Hui Ying, kategori barangan di bawah SARA ketika ini melibatkan 14 kategori dengan lebih 100,000 jenis produk, termasuk produk keluaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
“Kerajaan sentiasa memantau situasi semasa bagi memastikan bantuan yang disalurkan melalui program SARA benar-benar memanfaatkan golongan sasar dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN






