KUALA LUMPUR: Kesempatan menaiki kereta bersama telah digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangkitkan kepentingan keamanan di Gaza jika mahu memperkukuh keamanan global dan menamatkan konflik antarabangsa kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri berkata, perbualannya dengan Trump sepanjang perjalanan itu menyentuh pelbagai isu termasuk keperluan menamatkan konflik di Gaza.
“Kami berkongsi banyak perkara bersama dan yang penting adalah semangat menjaga keamanan. Saya menggesa Presiden agar terus fokus memastikan keamanan sejagat dapat dicapai,” katanya.
Sebaik tiba di Komplek Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, Trump telah mempelawa Anwar untuk menaiki kereta rasminya The Beast untuk ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit disifatkan oleh Anwar sebagai melanggar protokol keselamatan.
“Untuk mencapai keamanan, kadang-kadang kita perlu melanggar protokol. Sebaik sahaja Presiden tiba dan menjemput saya menaiki kereta bersamanya, saya katakan itu melanggar peraturan. Namun, beliau teruja untuk melakukannya,” katanya.
Perdana Menteri berkongsi perkara itu ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja di KLCC semalam yang turut disaksikan Trump.
Anwar berkata, dunia kini memerlukan keberanian politik dan iltizam tinggi untuk memastikan keamanan sejagat tercapai, termasuk di Gaza yang menjadi kawasan paling mencabar tetapi penting bagi kestabilan global.
Beliau yang merakamkan penghargaan atas peranan Trump dalam menggerakkan gencatan senjata di beberapa zon perang, turut memuji keberanian Presiden AS itu dalam mendepani cabaran diplomasi global yang dianggap mustahil diselesaikan.
“Kita berterima kasih kepada Presiden atas usaha menjaga keamanan di banyak bahagian dunia termasuk Gaza.
“Saya gembira beliau bersemangat memastikan keamanan diterima di kawasan paling bergolak,” katanya.
Kedatangan Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN disambut dengan penuh istiadat meskipun dikelilingi pelbagai kritikan antarabangsa, termasuk berhubung pendirian Washington terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Turut hadir menyambut ketibaan Trump ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan. – UTUSAN





