KUALA LUMPUR: Korea Selatan mengemukakan tiga tumpuan dasar utama bagi memperkukuh hubungan dengan ASEAN, meliputi kerjasama dalam bidang pembangunan rakyat, pertumbuhan ekonomi dan keselamatan serantau.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung berkata, tumpuan pertama ialah menjadikan Korea sebagai rakan pembina impian dan harapan ASEAN, dengan memperkukuh pertukaran modal insan meliputi sektor pendidikan, kemahiran dan kesihatan antara kedua-dua pihak yang kini melibatkan lebih 15 juta orang setiap tahun.
Tumpuan kedua menjadikan Korea pemangkin pertumbuhan dan inovasi ASEAN dengan meningkatkan nilai perdagangan dua hala kepada AS$300 bilion setahun, selain memperluas kerjasama dalam teknologi, industri hijau dan ekonomi digital.
Tumpuan ketiga pula menjadikan Korea sebagai rakan keamanan dan kestabilan ASEAN melalui usaha kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan, keselamatan maritim dan pengurusan bencana.
“Ketiga-tiga visi ini sejajar dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menekankan pembentukan komuniti berpusatkan rakyat, inovatif, dinamik dan berdaya tahan,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN–Korea ke-25 di Kuala Lumpur, semalam.
Jae-myung turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah terancang dan pusat penipuan siber di kawasan sempadan yang mengeksploitasi golongan muda.
Katanya, bagi menangani isu berkenaan, pihak berkuasa Korea akan meningkatkan siasatan dengan ASEAN bagi membanteras sindiket jenayah siber serta memperluas kerjasama dalam bidang kehakiman dan keselamatan.
“Saya berharap perbincangan hari ini dapat menentukan hala tuju baharu kerjasama ASEAN–Korea yang lebih relevan dalam era perubahan kini,” katanya. – UTUSAN






