KUALA LUMPUR: Hubungan ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) berkembang menjadi perkongsian strategik menyeluruh, dengan nilai dagangan dua hala mencapai rekod AS$453 billion (RM1.91 trilion) tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekonomi yang pesat dan dinamik antara AS serta Asia Tenggara mempunyai potensi besar untuk mencipta era keemasan bagi semua negara ASEAN.
Berteraskan aspirasi bersama untuk keamanan dan kemakmuran, beliau berkata, ia sekali gus dapat menyokong peluang pekerjaan dan perniagaan di seluruh AS dan ASEAN.
“Hari ini, kita akan memperkukuh lagi janji hubungan ini dengan mengadaptasi Kenyataan Bersama Visi ASEAN-AS bagi mempromosikan ASEAN dan Amerika yang lebih kukuh, selamat serta makmur.
“Ia mencerminkan hasrat dan komitmen bersama untuk menterjemahkan kerjasama ke dalam hasil yang nyata dan manfaat sebenar bagi ASEAN dan AS,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-AS sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.
Presiden AS, Donald Trump pula memuji peranan negara-negara ASEAN dalam menyokong usaha perdamaian antarabangsa serta mengukuhkan kerjasama serantau.
Trump turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin ASEAN kerana menghantar pemerhati dan ketua negara masing-masing untuk menyertai majlis penandatanganan perjanjian keamanan yang disifatkannya sebagai ‘sejarah baharu bagi rantau ini.’
“Saya melihat kehadiran ketua-ketua negara, bukan sekadar pemerhati. Mereka akan memastikan penyelesaian yang berkekalan,” katanya.
Katanya, sidang kemuncak itu menandakan satu daripada lapan konflik yang berjaya ditamatkan dalam tempoh lapan bulan pentadbirannya.
Jelasnya, penyelesaian konflik tersebut termasuk pengakhiran perang di Gaza yang berjaya ‘menyelamatkan berjuta-juta nyawa’.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Malaysia, Brunei dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto atas sokongan mereka terhadap usaha damai dan kestabilan di Asia Barat.
“Saya amat berbesar hati dapat kembali ke Asia Tenggara, rantau yang dianggap sebagai antara rakan dan sekutu paling penting AS sambil menegaskan lawatannya kali ini membawa mesej persahabatan dan niat baik.
“AS berada pada zaman keemasan. Kami mencatat pertumbuhan ekonomi yang tidak pernah dicapai mana-mana negara sebelum ini, dengan pelaburan melebihi AS$20 trilion dalam tempoh setahun,” katanya. – UTUSAN






