KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mencipta sejarah baharu dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala apabila memberi akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing.
Walaupun AS mengekalkan tarif perdagangan sebanyak 19 peratus ke atas Malaysia, Washington mengenal pasti beberapa produk yang menerima kadar tarif sifar di bawah senarai rakan kongsi sejajar.
Malaysia juga tidak akan mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting atau unsur nadir bumi ke AS dan akan bekerjasama dengan firma Amerika bagi mewujudkan kepastian kepada perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Malaysia juga bersetuju tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital yang bersifat diskriminatif terhadap syarikat AS dan memastikan pemindahan data merentasi sempadan berjalan lancar dengan perlindungan sewajarnya.
Bagi pengguna Malaysia, perjanjian baharu ini menyaksikan kerajaan bersetuju mengecualikan produk pertanian dan makanan laut dari Amerika Syarikat (AS) daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Ini bermakna buah-buahan dari AS akan turut dikecualikan daripada SST, sama seperti epal, oren, kurma, dan limau mandarin.
Logo halal bagi mana-mana produk yang diperakui halal di AS dan ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan dibenarkan untuk pasaran Malaysia.
Perkara itu terkandung dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS dan Malaysia yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.
Rumah Putih dalam kenyataannya berkata, perjanjian itu akan memberikan pengeksport kedua-dua negara akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing dalam mengukuhkan hubungan ekonomi jangka panjang yang wujud sejak Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004.
Antara terma utama perjanjian itu termasuklah komitmen negara ini memberikan akses pasaran keutamaan yang besar bagi eksport barangan perindustrian AS seperti bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik dan logam.
Selain itu, Malaysia akan membuka pasaran eksport pertanian AS seperti hasil tenusu, produk hortikultur, ayam, produk proses, minuman, daging babi, beras dan etanol.
“Komitmen AS pula adalah mengekalkan tarif timbal balas pada kadar 19 peratus seperti ditetapkan dalam Perintah Eksekutif bertarikh 2 April 2025 serta pindaan kemudiannya terhadap barangan berasal dari Malaysia.
“AS juga mengenal pasti produk dalam Perintah Eksekutif bertarikh 5 September 2025 untuk menerima kadar tarif timbal balas sifar peratus,” kata Rumah Putih dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Rumah Putih berkata, Malaysia bersetuju menangani halangan bukan tarif yang menjejaskan perdagangan dua hala dalam sektor perindustrian utama.
Perkara itu termasuk menerima kenderaan keluaran AS mengikut piawaian keselamatan, mempermudah lesen import produk keluli aloi dan paip dari AS, memperkemas keperluan produk halal seperti kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan serta menangani kebimbangan terhadap aspek pematuhan.
Malaysia pula menangani halangan bukan tarif terhadap produk makanan dan pertanian AS di pasaran tempatan termasuk menerima sijil dikeluarkan oleh kawal selia AS dan memperkemaskan keperluan halal serta pendaftaran bagi memudahkan import serta melaksanakan pengiktirafan penyakit haiwan.
Malaysia bersetuju untuk tidak melarang atau mengenakan kuota eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS.
“Malaysia komited mempercepatkan pembangunan sektor ini bersama syarikat AS termasuk pemberian lesen operasi lanjutan bagi memastikan jaminan kepada perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Tiada sekatan dikenakan terhadap penjualan magnet nadir bumi kepada syarikat AS,” katanya.
Bagi perjanjian komersial tambahan, kedua-dua pihak mengambil maklum mengenai beberapa urus niaga komersial sedang dan bakal dimeterai antara syarikat AS dan Malaysia termasuk pembelian pesawat dengan pilihan tambahan untuk 30 pesawat, pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data bernilai AS$150 bilion. – UTUSAN





