PETALING JAYA: Keluarga peserta Global Sumud Flotilla (GSF), Norazman Ishak dan Dr. Taufiq Mohd. Razif masih menanti khabar mengenai status ahli keluarga mereka yang sehingga kini belum diketahui.
Anak sulung Norazman, Abdul Aziz, 24, berkata, dia terputus hubungan dengan bapanya kira-kira pukul 5 pagi kelmarin.
Dalam perbualan itu, bapanya sempat berpesan agar bersedia memikul tanggungjawab sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
“Saya ingat lagi dia cakap, kalau ada apa-apa jadi, saya kena bersedia sebab saya anak sulung. Itu kata-kata terakhir dia sebelum matikan panggilan,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Kata Abdul lagi, penyertaan bapanya ke Gaza adalah impian lama setelah sebelum ini pernah terlibat dalam misi kemanusiaan di kawasan konflik antarabangsa termasuk Afghanistan dan Myanmar.
Norazman menaiki kapal Estrelle yang turut membawa tiga orang peserta dari Malaysia iaitu Rahmat Ikhsan (PU Rahmat), Norhelmi Ab. Ghani dan Mohd. Asmawi Mukhtar manakala kapal Free Willy yang dinaiki Dr. Taufiq turut disertai Muhd. Haikal Luqman Zulkefli dan Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs).
Sementara itu, abang kepada Taufiq, Ahmad Fadhil Mohd Razif, 34, memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan adiknya itu adalah pada Rabu lalu.
Kata Ahmad, adiknya seorang yang begitu cakna terhadap sebarang isu kemanusiaan dan pernah menyertai misi bantuan ke Syria lima tahun lalu.
“Kami sempat berbual ringkas sahaja. Selebihnya dia hanya minta kami terus doakan keselamatan mereka,” katanya.
Kelmarin tentera Israel dilarpokan menahan lebih 300 orang daripada 497 aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selepas kapal mereka dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza di Laut Mediterranean. – UTUSAN






